GAMBAR BLOG PSSJB

GAMBAR BLOG PSSJB

PENGUMUMAN PENTING !

SEJARAH PERGURUAN

Bermula di era 40-an hingga era 80-an seni persilatan ini dikenali dengan nama Seni Silat Jawa Betawi. Mula mendapat tempat dihati penduduk setempat sehinggakan seni ini kerap mendapat undangan di majlis keramaian dan majlis perkahwinan. Dimaklumkan juga seni ini berjaya menambat hati Almarhum Tunku Kasim. Ini dapat dibuktikan apabila Seni Silat Jawa Betawi kerap mendapat undangan Tunku untuk dipertontonkan di khalayak umum dan adakalanya seni ini diminta oleh Tunku untuk belaga dengan perguruan yang lain.

Mengikut sejarah dan kajian yang telah dibuat pengasas Seni Silat Jawa Betawi ialah Sheikh Abdul Yunus. Beliau dikatakan berasal dari daerah Cirebon di Kepulauan Jawa. Menurut sejarah, pada masa tersebut beliau dikatakan sedang beruzlah di Gunung Serimbun. Beliau kemudiannya telah mewarisi seni ini kepada seorang anak murid yang bernama Salleh.

Salleh atau lebih dikenali dengan nama Haji Salleh dikatakan masih muda ketika itu dan merupakan seorang anak muda yang sukakan ilmu. Atas sifat inilah beliau kerap merantau sehinggalah beliau bertemu dengan Sheikh Abdul Yunus. Walaupun beliau berketurunan Bugis dengan takdir Allah S.W.T permainan Jawa ini dapat diwarisi oleh beliau melalui Sheikh Abdul Yunus. Sebenarnya Haji Salleh berasal dari daerah Cirebon di Kepulauan Jawa.

Seni ini merupakan permainan orang Jawa di daerah Betawi. Dalam soal selidik yang dibuat didapati daerah Betawi merupakan pusat ilmu di Indonesia. Seni Silat Jawa merupakan permainan utama di sana dan dikatakan begitu hebat sejarahnya. Contoh pendekar Jawa ialah Diki Zulkarnain. Justeru itu apabila seni ini bertapak di Tanah Melayu ia dinamakan sempena nama bangsa dan daerah ia datang. Dimasukkan juga perkatan Betawi adalah bertujuan mengelakkan kekeliruan dengan seni lain seperti Kuntau Jawa, Kalong Jawa dan lain-lain yang dikatakan mirip permainan Seni Silat Jawa Betawi ini. Kini daerah Betawi di Indonesia telah dikenali dengan nama barunya iaitu Jakarta. Apa yang tinggal hanyalah panggilan kepada penduduk-penduduk asalnya iaitu Melayu Betawi.

Haji Salleh Jawa atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Jawa merupakan seorang anak muda berbangsa Bugis yang taat kepada ajaran Islam. Semangat untuk mencari ilmu telah membawa Tok Jawa ke Tanah Melayu pada tahun 1897. Dikatakan ketika itu beliau baru berusia 25 tahun. Daerah Sidam di Kedah merupakan tempat persinggahan pertama Tok Jawa di Tanah Melayu. Sebagai anak rantau Tok Jawa melakukan pelbagai pekerjaan dan dalam masa yang sama turut dikatakan mengajar ilmu persilatan ini kepada penduduk setempat dan difahamkan beliau sempat mewariskan seni ini kepada anak Penghulu Sidam yang bernama Senapi Ayop.

Kajian juga mendapati Tok Jawa turut mengembangkan Seni ini kepada penduduk di sekitar Kampung lahar Yoi dan Permatang Tok Dek. Beliau juga dikatakan telah bertemu jodoh dengan seorang penduduk tempatan yang bernama Mek Tam. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan seorang anak leleki. Walaubagaimanapun difahamkan anak lelaki mereka telah meninggal dunia ketika umur belasan tahun. Tok Jawa kemudiannya telah mengamanahkan semua gelanggang di kawasan tersebut kepada Senapi Ayop sebelum merantau pula ke Guar Cempedak.

Di Guar Cempedak beliau menurunkan seni ini kepada seorang guru pondok yang bernama Haji Hussin Che Dol. Beliau kemudiannya merantau pula ke Kampung Pondok Chegar Pendang Kedah. Di sini jelas menunjukkan beliau lebih membawa seni ini melalui pondok-pondok pengajian agama yang beliau temui dalam perjalanan beliau merantau di negeri Kedah ini. Misalnya apabila beliau berada di Kampung Pondok Chegar ini beliau telah menurunkan pula seni ini kepada Haji Syafiee b. Hj. Tahir.

Membuka gelanggang di Sawa merupakan satu lagi bukti permainan ini telah mendapat sambutan yang baik daripada penduduk di kawasan Pendang Kedah. Menurut penceritaan golongan Guru Tua yang masih hidup, Tok Jawa dikatakan berjaya membuka gelanggang di Pendang bermula dari satu peristiwa pertarungan beliau dengan seorang guru seni lain di Pendang. Dalam pertarungan tersebut Tok Jawa telah berjaya menjatuhkan lawan beliau dengan mudah. Kemenangan tersebut menyebabkan anak-anak buah guru tersebut tidak berpuas hati dan bertindak mengepung beliau dengan pelbagai senjata ditangan. Dengan nekad yatim piatu ditempat orang, beliau mencabar semua yang ingin menapak masuk menyerang beliau sambil mencabut pokok pinang muda sebesar tiang telekom yang masih tegak berdiri hanya dengan sebelah tangan. Apabila melihat kejadian luar biasa tersebut semua yang mahu mencederakannya tadi menyimpan sahaja hasrat mereka.

Kejadian inilah yang menjadi titik tolak pembukaan gelanggang di Kawasan Pendang. Setelah dipujuk oleh rakan-rakan yang berminat untuk belajar, akhirnya Tok Jawa membuka gelanggang di Kampung Chegar dan Kampung Sawa di daerah Pendang Kedah. Satu lagi kehebatan yang beliau miliki ialah beliau mampu bermain dengan ramai musuh dan dikatakan sekiranya beliau bermain dengan 7 orang beliau akan memiliki 7 kekuatan. walaubagaimanpun beliau sebenarnya juga memiliki Raja Tapak yang kini menjadi "rahsia" dalam Seni Silat Jawa Betawi.

Di Kampung Sawa beliau telah mengajar seni ini kepada rakannya iaitu Haji Awang b. Haji Hamid atau lebih dikenali dengan nama Haji Awang Mudim. Gelaran "mudim" diberikan adalah kerana beliau sebenarnya seorang yang mengkhatan kanak-kanak lelaki di kawasan tersebut. Anak saudara beliau yang bernama Ahmad b. Hashim atau lebih dikenali dengan nama Mat Punjab turut berguru dengan Tok Jawa. Dalam tahun 1940, Tok Jawa masih meneruskan perjuangan beliau mengembangkan seni ini kepada anak murid bongsunya yang bernama Hj. Hamid b. Hj. Mahmud. Tok Jawa kemudiannya dikatakan merantau pula ke Kuala Rimau Pendang. Meneruskan hidup beliau disini sehinggalah pada tahun 1945 di ambang usia lewat 70-an beliau dipanggil yang maha esa. Walaupun tidak meninggalkan waris dan zuriat mahupun harta tetapi beliau telah meninggalkan seni ini dan ilmu agama di dada setiap anak-anak muridnya. Berkat usahanya itu,seni ini tetap wujud dan menjadi kebanggaan bagi mereka yang mempelajarinya. Kini Seni ini terus berkembang dan guru-guru Tua telah mengamanahkan kepada Chek Mee b. Chek Paa selaku Guru Utama Perguruan Seni Silat Jawa Betawi untuk meneruskan perjuangan Tok Jawa dan rakan-rakannya. Buktinya dengan izin Allah S.W.T Ibu Gelanggang Seni Silat Jawa Betawi kini mampu dibina dengan titik peluh anak-anak jawa sendiri.

Inilah serba sedikit rintitan-rintitan sejarah yang sempat dirakamkan dan disemadikan dalam laman blog ini. Sekiranya ada kesilapan fakta ataupun penceritaan harap dimaafkan. Walaupun demikinan semua yang dinyatakan setakat ini disahihkan kebenarannya.